Berita Utama

Cuba menipu, pemandu Myvi reka cerita elak kenderaan berhenti

Rakaman video tular di media sosial jadi bukti jelas

BANGI, 23 Safar 1442H, Ahad – Polis menyangkal dakwaan pemandu kereta Perodua Myvi mengelak kenderaan berhenti di hadapannya hingga terlibat kemalangan mengakibatkan kematian di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, rakaman video yang tular di media sosial jelas menunjukkan kereta dipandu wanita berusia 23 tahun itu merempuh kereta Honda Accord dinaiki mangsa hingga kedua-duanya terbalik.

Tegasnya lagi, video itu turut membuktikan dakwaan wanita berkenaan tidak benar sama sekali, terdapat kereta lain di hadapan keretanya melainkan tindakannya memecut laju ketika sampai di lokasi kejadian.

“Dakwaan ada kereta berhenti di hadapannya, tidak benar. Dia memang laju.

“Ada banyak kesalahan yang dilakukan. Tidak mempunyai lesen kenderaan, cukai jalan tamat tempoh dan positif dadah jenis methamphetamine lagi,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Semalam, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas keretanya dirempuh kereta suspek.

Kemalangan itu melibatkan kereta Perodua Myvi dipandu suspek yang berusia 23 tahun, kereta Honda Accord dipandu Mohd Rizal dan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu seorang warga emas, Chang Ah May, 78.

Kereta dipandu suspek sebelum itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan dan melanggar kereta mangsa serta Proton Iswara sebelum dua kereta itu terbalik.

Suspek hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button