Dakwaan miliki majoriti hanya rekaan Anwar semata-mata
Jadi bukti jelas Presiden PKR itu ahli politik pentingkan diri
BANGI, 23 Safar 1442H, Ahad – Dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu adalah dakwaan tidak berasas dan bersifat rekaan semata-mata.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, percaturan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu ini membuktikan bahawa beliau seorang ahli politik yang mementingkan diri.
“Beliau (Anwar) sanggup meletakkan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri melampaui segalanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.
“Dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson ini juga telah menambahkan kebimbangan dalam kalangan rakyat ketika ini yang amat bergantung kepada kerajaan dalam mengekang gelombang ketiga penularan wabak COVID-19,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, semua Ahli Parlimen dari Bersatu sentiasa memberikan sokongan penuh tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 dan tidak terlintas sedikit pun untuk berpendirian sebalikya.
“Sehubungan dengan itu, Bersatu menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk tidak menghiraukan dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson serta terus memberikan kerjasama padu kepada kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 dan seterusnya memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.
Pada 23 September lepas, Anwar memberitahu bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.
Tegas Anwar, beliau telah mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Selasa (22 September) jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguh susulan Seri Paduka sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Apabila Al-Sultan Abdullah berangkat pulang ke Istana Negara selepas menerima rawatan di IJN sejak 21 September lalu, Anwar mendakwa Seri Paduka telah memberi perkenan untuk beliau menghadap pada Selasa depan.