Berita Utama

Jangan lihat undang-undang Mahkamah Syariah dari perspektif Sivil

Sikap tunding jari perlu dihakis dalam diri umat Islam

BANGI, 23 Safar 1442H, Ahad – Undang-undang Islam yang diamalkan di Mahkamah Syariah tidak boleh dilihat daripada perspektif Mahkamah Sivil kerana terdapat perbezaan ketara antara kedua-duanya.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, di Mahkamah Syariah, walaupun seseorang itu tidak mempunyai saksi atau pembuktian mencukupi, mereka masih boleh menang kes kerana terdapat prosedur menurut hukum syarak yang dinamakan ‘al yamin’.

Jelasnya, ‘al yamin’ adalah sumpah khusus yang menggunakan nama-nama Allah.

“Dengan ‘al yamin’, wanita yang gagal mengemukakan keterangan mencukupi boleh bersumpah mengikut kaedah yang telah ditetapkan dan hakim akan membuat keputusan berdasarkan sumpah itu.

“Ia diwujudkan bagi memudahkan pelaksanaan perbicaraan, mengelak kes-kes ditangguh kerana ketiadaan saksi dan menghindar daripada perbicaraan yang panjang.

“Namun, sekiranya keterangan palsu diberikan setelah ‘al yamin’ di Mahkamah Syariah, maka laknat Allah akan melanda orang yang bersumpah itu,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sekali gus menjawab mengenai cakap-cakap bahawa undang-undang keterangan Islam dikatakan mendiskriminasi dan mengaibkan wanita sehingga menyebabkan mereka tidak mendapat keadilan di Mahkamah Syariah khususnya isu mengenai faraid, saksi serta keizinan keluar rumah.

Mengulas lanjut mengenai ‘al yamin’, beliau berkata, telah banyak kali terbukti seseorang yang berbohong setelah bersumpah di Mahkamah Syariah dilaknat Allah dengan pelbagai penghinaan.

Namun, menyedihkan kerana peruntukan itu tidak digunakan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah, katanya.

“Memang sudah lumrah manusia akan menyalahkan orang lain apabila tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara tanpa melihat diri sendiri terlebih dahulu. Sikap itulah yang harus dihakis dalam diri setiap orang Islam.

“Sekali lagi apabila kita membandingkan sesuatu, kita hendaklah membandingkannya dengan betul.

“Janganlah hanya kerana dalam syahadah seorang saksi lelaki sama dengan dua orang saksi wanita, kita melabelkan undang-undang syariah sebagai diskriminasi dan menindas wanita.

“Ada jalan keluar yang telah digariskan hukum syarak bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua orang dan hak diberikan kepada mereka yang berhak. Fahami falsafah dan prinsip undang-undang itu sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button