Berita Utama

Kes cuci duit: 9 termasuk anggota, pegawai polis dilepas dengan jaminan

Disyaki salah guna kuasa lindungi sindiket perjudian dalam talian

KUALA LUMPUR, 23 Safar 1442H, Ahad – Semua individu tahanan reman terbabit siasatan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram dilepas dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

Sumber SPRM berkata, ia melibatkan sembilan individu termasuk tujuh anggota dan pegawai polis yang kemudian diserah ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berikutan kes diklasifikasi sebagai jenayah bersindiket.

“Mereka hanya dilepas dengan jaminan SPRM…semua mereka diperlukan untuk siasatan lanjut polis. Dalam erti kata lain, mereka masih belum dibebaskan,” kata sumber berkenaan kepada Bernama.

Pada Jumaat lepas, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya telah memulakan siasatan dalaman melibatkan pelbagai aspek terhadap semua pegawai dan anggota yang ditahan.

Semua pegawai dan anggota polis terbabit disyaki menyalahgunakan kuasa melindungi sindiket itu serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan terperinci dilakukan susulan pendedahan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan.

Pada 8 Oktober lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya mengesan ratusan syarikat ‘dami’ yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Sebelum ini, SPRM turut memanggil pasangan artis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram terbabit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button