Artikel Khas

Pejuang Malaysian Malaysia diberikan gelaran Tan Sri?

Sudah tanduskah orang yang berjasa untuk diberi anugerah

SAYA tidak akan pertikaikan dan merasa hairan jika diberikan anugerah dan gelaran diberikan kepada pembangkang, kerana kita tahu, pembangkang memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi berparlimen, tetapi bukan kepada pemimpin pembangkang sama ada sudah bersara atau tidak, yang memperjuang Malaysian Malaysia kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi negara.

Namun semua ini tidak menghairankan kerana inilah wajah sebenar, kerajaan Malaysia Madani. Sentiasa terdesak dan penuh sesak. Lebih-lebih berhadapan dengan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, yang menjadi penentu talian hayat PH.

Sudah tentu undi Cina adalah penentu segalanya kepada talian hayat ini. Justeru, tidak mengejutkan jika tindakan bersifat ultra kiasu dibuat dan diberikan kepada pemimpin ultra kiasu.

Cuma sedikit hairan dan terkilan, kenapa pemimpin UMNO berdiam diri. Membisu seribu bahasa. Sedangkan dalam kumpulan media sosial yang saya baca, pemimpin dan ahli-ahli UMNO menyumpah dan merintih dengan tindakan memberikan gelaran Tan Sri ini.

Apapun saya ucapkan tahniah, di atas tindakan yang berani ini. Inilah Malaysia Madani.

Cuma, sebagai rakyat marhaen, saya ingin mengingatkan:

Pertama, perjuangan Malaysian Malaysia, sangat bahaya kepada pembinaan negara bangsa kerana ia bercanggah dengan wasiat raja-raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi negara.

Kedua, Deklarasi Setapak menguatkan lagi betapa bahayanya perjuangan Malaysian Malaysia parti ultra kiasu ini kini berada dalam kerajaan.

Ketiga, parti ultra kiasu inilah yang begitu lantang menentang perjuangan untuk menjadi Malaysia sebagai sebuah negara Islam, negara majoriti orang Islam. Langkah mayat aku, jika mahu menegakkan negara Islam, katanya.

Keempat, parti ultra kiasu ini juga yang bersungguh-sungguh mahukan mayat pemimpin komunis, Chin Peng dibawa balik. Sudah tentu kita tahu, apakah ideologi di sebalik itu semua.

Kelima, pemimpin ultra kiasu mempertikaikan kedudukan Raja-Raja Melayu pada 15 Ogos 2014. Jika para pembesar sudah lupa, biar saya ingatkan.

“Bagaimanapun bila mereka (Raja-Raja) bersikap kepartian dalam proses politik dan menyokong individu-individu atau parti-parti yang diketahui telah menyalahgunakan kuasa-kuasa mereka Raja-Raja ini membawa institusi Kesultanan ke dalam kehinaan dan secara realiti menyegerakan hari-hari bila Kesultanan akan diletakkan di muzium.”

(Kenyataan asal: “However when they (their Highnesses) become partisan in the political process and support individuals or parties known to have abused their powers theses rulers are bringing the institution of the monarchy into disrepute and in reality hastening the days when the monarchy will be consigned to the museum.”)

“Jika ini berlaku Perlembagaan sekalipun tidak boleh menghalang kemarahan rakyat daripada mengambil langkah tidak dapat dielakkan di dalam menghapuskan sebuah institusi yang telah mendatangkan kos yang banyak kepada rakyat untuk menjaga dan yang telah memberikan pulangan yang sedikit kepada rakyat sebagai timbal-balas.”

(Kenyataan asal: “If ever that should happen not even the Constitution can prevent the wrath of the rakyat from taking the inevitable step in abolishing an institution that has cost so much for the rakyat to maintain and has given little back to the rakyat in return.”)

Pada 24 Mac 2016, sekali lagi pemimpin ultra kiasu DAP berkata:

“Kebanyakan daripada mereka (Raja-Raja) adalah pengejar kepentingan sendiri yang memikirkan kepentingan-kepentingan mereka sendiri”.
(Kenyataan asal: “Most of them (the royalty) are self-seekers thinking of their own interests.”)

“Keluarga-keluarga diraja adalah satu bebanan kewangan yang serius kepada negara dan apa yang mereka sumbangkan kepada kesejahteraan rakyat?”
(Kenyataan asal: “The royal houses are a serious financial burden to the country and what do they contribute to the wellbeing of the people?”)

Saya tidak nafikan, kenyataan tersebut, ada juga yang benarnya. Namun, dari segi logik akalnya, apakah kita tidak ada perasaan malu untuk menerima anugerah ini, setelah pemimpin dalam kalangan mereka berkata sedemikian, dan kata-kata ini tidak pernah pun ditegur oleh ultra kiasu ini.

Keenam, jika pembesar dan pemimpin Melayu mudah lupa, biar Cina marhaen ini ingatkan, bahawa perjuangan sosialis parti ultra kiasu ini tidak pernah berubah daripada dahulu sampai sekarang. Ultra kiasu tidak pernah suka kepada sistem beraja. Boleh buat carian, ejekan, hinaan dan kutukan mereka kepada raja-raja Melayu.

Ketujuh, Pendidikan sejarah di sekolah Cina dan Sekolah Persendirian Cina, tidak sama sekali menekankan soal kedaulatan raja-raja Melayu, yang menjadi tunjang kepada sejarah orang Melayu dan sejarah Tanah Melayu.

Kelapan, pemimpin ultra kiasu ini jugalah yang paling tegar memperjuangkan sekolah berasaskan perkauman Cina terus dikekalkan, tanpa ada usaha untuk memperbaiki kedudukan penguasaan bahasa Melayu sekolah tersebut.

Sekurang-kurangnya, jika terlalu tegar memperjuangkan sekolah Cina, pada masa sama, buatlah usaha agar orang Cina menguasai bahasa negara, bahasa Melayu. Ini tidak, pemimpin mereka sendiri, tidak boleh berbahasa Melayu.

Lihat sahaja perbahasan di Parlimen seperti bulung bulung telebang di angkaser…Speaker ultra kiasu sendiri ketika mengendalikan parlimen, bercakap, “perkara” jadi “kepala”. Cuba amati betul-betul. Layakkah orang sebegini diberikan anugerah dan gelaran?

Ini tidak termasuk lagi, pemimpin mereka, mahukan puluhan ribu lampu tanglung digantung di Jalan Raja Uda, Pulau Pinang baru-baru ini, sehingga menenggelamkan identiti penduduk asal. Begitu juga tindakan meletakkan nama jalan dalam bahasa Cina paling atas seperti berlaku di Kajang, Selangor. Begitu juga di Kuching, Sarawak. Pulau Pinang usahlah cerita.

Kami hanya mahu ‘kembalikan’ tulisan cina yang hilang – DAPSY – Malaysiapost
Tindakan DAP pasang tulisan Cina di papan tanda jalan di Kuching biadab, kata Profesor – Sarawakvoice.com

Saya masih lagi boleh menerima, jika mereka tegar perjuangkan hak bangsa, pada masa sama perjuangkan hak hidup bernegara, junjung agenda nasional atau agenda negara. Namun, realitinya, orang Cina tetap dengan cara hidup perkauman mereka, penuh kecinaan, tidak boleh berbahasa Melayu, walaupun tidak semua.

Justeru, wajarkah orang seperti ini diberikan anugerah? Saya tidak salahkan mereka yang menerima anugerah, tetapi mereka yang mencadangkannya? Sudah terdesak sangatkah?

Terlalu banyak lagi yang ingin diperkatakan. Cukuplah saya noktahkah di sini, selagi Malaysian Malaysia dan Deklarasi Setapak masih menjadi asas perjuangan ultra kiasu DAP, selagi itulah mereka tidak layak menerima apa-apa anugerah kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi negara serta wasiat raja raja Melayu.

Selama ini, ultra kiasu ini tidak pernah bersongkok, tiba-tiba kerana anugerah, bersongkok pula dia. Tidak ada rasa Malukan? Jangan lupa selepas ini memakai tanjak dan baju Melayu.

Kepada pemimpin PH BN, jangan lupa selepas ini, tukar nama jalan kepada nama pemimpin ultra kiasu ini yang begitu banyak berjasa kepada negara tercinta ini.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button