Berita Utama

Tiada lantikan pengurus besar bukan Islam di TH: Ahmad Marzuk

Mesej tular sekadar cadangan lantikan, namun telah ditolak

BANGI, 23 Safar 1442H, Ahad – Dakwaan berlakunya pelantikan pengurus besar di sebuah hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan individu bukan Islam tidak pernah berlaku.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya sedia maklum mengenai keresahan umat Islam berhubung berita yang tular itu.

Ahmad Marzuk berkata, persoalan mengenai pelantikan berkenaan tidak lagi berbangkit setelah cadangan mengenainya oleh pihak pengurusan tertinggi ditolak Lembaga Pengarah TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 1 Oktober lalu.

Pada masa sama, beliau berkata, cadangan yang juga ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff itu tidak pernah dibawa kepada sebarang perbincangan dengan pihak Pejabat Menteri atau Timbalan Menteri sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.

“Hasil semakan pihak kami, memo tular ditandatangani Datuk Nik Mohd Hasyudeen adalah cadangan lantikan daripada pihak pengurusan tertinggi TH yang dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah untuk mendapatkan kelulusan.

“Bagaimanapun, cadangan itu sudah pun ditolak melalui mesyuarat berkenaan. Dengan penolakan ini, tidak berbangkit lagi soal pelantikannya.

“Saya juga ingin menjelaskan secara tuntas dan muktamad bahawa tidak berlaku pelantikan pengurus besar bukan Islam itu, sebagaimana dakwaan atau kegusaran sesetengah pihak, ” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tular di media sosial pelantikan individu bukan Islam sebagai Pengurus Besar Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA (MHCC), iaitu sebuah hotel milik penuh Tabung Haji Hotel & Residence Sdn Bhd yang diuruskan oleh THV Management Services Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pihak pengurusan TH juga sudah diarahkan untuk mengemukakan semula cadangan calon pengurus besar baharu yang beragama Islam .

Beliau berkata, perkara itu penting supaya calon dikemukakan lebih sesuai dan menepati visi serta roh institusi pelaburan kebanggaan umat Islam itu.

Selain itu, pihaknya memberi jaminan keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja bagi memulihkan prestasi kewangan TH. malah turut memastikan segala urus tadbir membabitkan institusi itu terjamin dari sudut kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam..

“Saya menghargai segala komen dan pandangan masyarakat serta sentimen mereka yang gelisah dengan isu sebegini.

“Sehubungan itu, setiap agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk pengurusan TH diingatkan supaya sentiasa lebih peka dengan segala tindakan yang boleh mengundang kerisauan dan keresahan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button