Berita Utama

Bajet 2022 perlu fokus 7 perkara termasuk bantuan ‘subsidi gaji’

MTEM kerjasama dengan beberapa pihak supaya idea dipertimbangkan

BANGI, 19 Safar 1443H, Ahad – Tujuh perkara utama ke arah perubahan ekonomi menerusi tindakan jangka pendek dan panjang perlu diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan semua pemegang taruh ekonomi dalam kerajaan dan masyarakat bagi memastikan idea tersebut dipertimbangkan secara serius.

“Pertama, bantuan khas dan penyelamat COVID-19 mesti merangkumi enam hingga 18 bulan subsidi gaji.

“Manakala dana pusingan khas untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dengan pemindahan tunai lebih banyak untuk B20 ditambah dengan strategi percukaian baharu,” katanya.

Selain itu, Ahmad Yazid berkata, strategi pelaburan langsung asing (FDI) baharu perlu diberikan tumpuan merangkumi pemindahan teknologi sebenar dan mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

“Kerajaan juga perlu meneliti cadangan jaminan pekerjaan dan tidak menangguhkan kenaikan gaji minimum serta upah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Cukai Keuntungan Modal harus diperkenalkan pada kadar satu peratus tetapi kurangkan Cukai Korporat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tahun 2022.

“Kerajaan juga mesti membuat pendirian dasar yang jelas dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam dua tahun.

“Ia merangkumi pemberian pemutihan kepada semua pekerja asing tanpa izin untuk melengkapkan keperluan ekonomi semasa ketika ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, dasar kewangan kerajaan boleh mempertimbangkan pelupusan hutang untuk jumlah faedah terkumpul daripada semua pinjaman isi rumah seperti dilakukan di Jerman pada masa lalu selepas Perang Dunia Kedua.

Selain itu, polisi pembangunan bumiputera yang lebih baik perlu diutamakan untuk memastikan ia berkesan dan bukannya terpengaruh dengan desakan supaya dasar berasaskan keperluan (need based) menggantikan dasar berdasarkan tindakan afirmatif bersasar kepada mana-mana kumpulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button