Berita Utama

COVID-19 bertahan lama pada beberapa permukaan

Virus dapat bertahan di permukaan licin, bersuhu sejuk

CANBERRA, 24 Safar 1442H, Isnin – Agensi Sains Kebangsaan Australia, dalam penyelidikan baharu mendapati virus COVID-19 mampu bertahan di permukaan berlainan selama kira-kira sebulan, menyebabkan langkah-langkah seperti membasuh tangan dan membersihkan diri menjadi lebih penting, lapor agensi berita Sputnik.

Dalam penyelidikan diterbitkan Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO), agensi sains nasional Australia, mengatakan virus COVID-19 dapat bertahan lebih lama di permukaan licin dan pada suhu sejuk, khususnya merujuk kepada wang kertas, kaca dan keluli, sebagai bahan yang lebih sesuai untuk virus bertahan.

Diuji di makmal – yang bermaksud beberapa faktor, termasuk pencahayaan UV, tidak terbabit dalam penyelidikan ini – COVID-19 didapati mampu bertahan dalam zarah udara selama lebih tiga jam.

Penyelidikan ini telah dijalankan selama sebulan, dengan saintis menganalisis dan mengasingkan semula virus itu untuk menentukan kadar ketahanannya.

Sepanjang penyelidikan, virus itu telah didedahkan kepada suhu yang berbeza, membolehkan saintis mengetahui, pada suhu 40 darjah Celcius ia mungkin boleh bertahan selama kurang 16 jam pada kapas dan selama 24-48 jam pada kaca, keluli, kertas dan vinil.

Apabila suhunya diturunkan sehingga 30 darjah, menunjukkan kapas menyimpan virus itu selama tiga hari, dan pada wang kertas pula selama lebih 21 hari.

Di bawah suhu 20 darjah Celcius, virus berkenaan didapati bertahan pada wang kertas sehingga sebulan.

“Data yang dikemukakan dalam kajian ini menunjukkan penularan SARS-CoV-2 dapat dipulihkan dari permukaan rata selama sekurang-kurangnya 28 hari pada suhu dan kelembapan persekitaran (20 darjah Celsius dan 50 peratus RH – pada bacaan kelembapan).

“Meningkatkan suhu sambil mengekalkan kelembapan secara drastik mengurangkan daya tahan virus hingga 24 jam pada suhu 40 ° C”, menurut dapatan kajian.

Pasukan di sebalik penyelidikan itu menjelaskan bahawa dapatan kajian dapat membantu saintis mengetahui bagaimana untuk mengurangkan penyebaran virus dengan lebih berkesan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button