Berita UtamaDunia

Hanya 20 peratus penduduk Iraq pakai pelitup muka

Premis awam, hiburan, hotel serta restoran sudah mula operasi

BAGHDAD, 24 Safar 1442H, Isnin – Kementerian kesihatan Iraq menggesa penduduk mematuhi langkah-langkah pencegahan bagi menghentikan penularan wabak COVID-19.

Salah seorang pegawai, Riad al-Halfi dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan perintah berkurung bukan masa sesuai ketika ini selepas dihentikan akhir bulan lalu.

Beliau meluahkan kebimbangan, berikutan hanya 20 peratus rakyat Iraq memakai pelitup muka, selain menegaskan kepentingan pemakaiannya di tengah-tengah kekhuatiran gelombang kedua wabak itu.

Mei lalu, pihak berkuasa mewajibkan pemakaian pelitup muka dan sarung tangan di pengangkutan awam dan swasta, pasar dan institusi kerajaan.

Denda sebanyak 50,000 dinar Iraq (AS$42) dikenakan kepada individu yang melanggar arahan itu.

Setakat ini, negara Arab mengesahkan 400,124 kes COVID-19 termasuk 9,790 kematian, manakala 323,330 dilaporkan pulih.

Meskipun kemasukan para pelancong ke Iraq telah disekat, namun, tempat-tempat ibadat, premis awam dan hiburan, hotel serta restoran telah kembali beroperasi.

Malah, penganjuran aktiviti sukan dan aktiviti lain telah dibenarkan tanpa kehadiran penonton.

Di tengah peperangan dan keganasan selama bertahun-tahun, ditambah pula infrastruktur kesihatan yang lemah, Iraq kini berusaha keras mengekang penularan wabak.

Petugas barisan hadapan kesihatan telah menghadapi tekanan besar akibat kekurangan bekalan ubat dan alat bantuan pernafasan, malah ramai memutuskan untuk keluar dari negara itu berikutan kekasaran dikenakan ke atas keluarga pesakit. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button