Berita Utama

Ingkar SOP, kawasan rekreasi di R&R Bagan Ajam diarah tutup

Tiada penjarakan fizikal, pengunjung tak pakai pelitup muka

BUTTERWORTH, 24 Safar 1442H, Isnin – Kawasan rekreasi dan tepi pantai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), diarah tutup selama dua minggu bermula Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan menerusi Op Pematuhan COVID-19 mendapati pengunjung gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, dalam operasi bermula pukul 6.30 semalam, pihak polis bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendapati pengunjung gagal mengikuti SOP dengan tiada penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.

“Pihak polis telah membuat pemantauan di kawasan rekreasi itu sejak dua hari lepas dan kehadiran pengunjung memang ramai, malah mereka tidak menjaga penjarakan fizikal dan ada yang tidak memakai pelitup muka serta berkumpul dalam kumpulan yang ramai bersama kanak-kanak serta warga emas.

“Kami sebelum ini telah memberi nasihat serta amaran kepada pengunjung namun pemeriksaan hari ini mendapati mereka masih ingkar.

” Ekoran itu atas saranan KKM, MBSP telah mengambil keputusan untuk menutup sementara kawasan rekreasi tersebut terutama ketika kes COVID-19 semakin meningkat sekarang ini,” katanya kepada pemberita.

Katanya, lokasi itu sering menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada hujung minggu, menyebabkan ramai pengunjung dan pihaknya terpaksa mengambil tindakan menutup kawasan berkenaan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Noorzainy berkata, bagaimanapun, kawasan R&R Bagan Ajam itu tetap beroperasi seperti biasa dan peniaga didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, dalam operasi selama lebih dua jam di kawasan itu, seramai 120 orang telah dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan ketika PKPP.

“Ada antara mereka sengaja ingkar dengan tidak memakai pelitup muka kononnya berada di pantai dan kawasan rekreasi di situ, malah ada yang telah diberi amaran ketika operasi pematuhan, namun tetap melakukan kesalahan sama iaitu tiada penjarakan fizikal dalam kumpulan ramai,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan terutama dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak lagi datang ke kawasan itu atau kawasan rekreasi lain sekarang ini dengan membawa kanak-kanak dan warga emas, kerana mereka antara yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button