Berita Utama

Jualan asing susut kepada RM27.8 juta minggu lalu

Pelabur asing lupuskan RM66.8 juta bersih ekuiti tempatan

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1442H, Isnin – Pelabur asing meneruskan kegiatan melupuskan ekuiti tempatan minggu lepas, walaupun pada jumlah yang sederhana iaitu RM27.8 juta bersih ekuiti tempatan berbanding RM543.7 juta, satu jumlah yang begitu besar pada minggu sebelumnya.

Ini merupakan jumlah aliran keluar bersih asing tahunan kedua terkecil setakat tahun 2020, kata ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.

Beliau berkata, Bursa Malaysia memulakan minggu urus niaga dengan baik, menyaksikan pelabur asing membeli sehingga RM34.3 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin.

Ini diikuti dengan indeks FBM KLCI yang ditutup 0.8 peratus lebih tinggi pada 1,512.4 mata pada hari yang sama, selari dengan prestasi pasaran serantau yang lain.

“Kebimbangan mengenai peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh dunia pada Isnin telah ditenggelami oleh keadaan kesihatan Presiden Donald Trump yang semakin baik dan ini membantu menenangkan pelabur terutama kepada perkara yang berkaitan dengan ketidakpastian politik,”kata beliau kepada Bernama.

Bagaimanapun Adam berkata, pada Selasa, pelabur asing bertindak melupuskan RM66.8 juta bersih ekuiti tempatan, sekali gus menghapus aliran masuk bersih asing pada Isnin.

Kegiatan pengambilan untung amat nyata pada kaunter pembuat sarung tangan seperti Top Glove dan Hartalega, dengan kedua-duanya mencatatkan penyusutan 3.1 peratus pada Selasa.

“Ini meskipun pasaran serantau kembali yakin selepas terdapat laporan menyatakan perjanjian dengan penggubal undang-undang berkenaan lebih banyak bantuan coronavirus berpotensi untuk dicapai, terutamanya apabila Presiden Trump dikatakan meninggalkan hospital selepas menerima rawatan untuk virus berkenaan,” kata beliau.

Keadaan kembali lesu pada Rabu selepas Trump memberi arahan agar perbincangan untuk satu lagi pusingan bantuan untuk ekonomi dihentikan sehingga selepas pilihan raya presiden.

Sehubungan itu, pelabur antarabangsa telah menjual sejumlah RM161.4 juta bersih ekuiti tempatan, dan ini telah mengheret turun FBM KLCI sebanyak 1.3 peratus untuk ditutup di bawah 1,500 mata sementara pasaran serantau Asia yang lain seperti Korea Selatan dan Taiwan berada dalam zon hijau.

Pelabur luar pesisir kembali ke Bursa Malaysia pada Khamis, walaupun pada paras yang boleh diuruskan berjumlah RM38.6 juta bersih.

Harapan untuk beberapa bantuan rangsangan pulih kembali selepas Trump berkata beliau telah bersedia untuk menandatangani beberapa langkah sokongan termasuk sokongan untuk individu, perniagaan kecil dan penerbangan.

Malah, S&P 500 mengukuh pada Rabu kepada paras tertinggi dalam tempoh sebulan ketika ditutup, selepas Trump dalam ciapannya menyatakan sokongan beliau untuk pakej-pakej berkenaan.

“Ini sedikit sebanyak membantu meredakan sebahagian daripada kegelisahan dari sudut politik yang mana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata (mendakwa) beliau telah mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok,” kata beliau.

Pelabur antarabangsa terus meningkatkan aktiviti belian pada Jumaat dengan menguasai sejumlah RM127.4 juta bersih ekuiti tempatan dengan para pelabur menunjukkan keyakinan (masih berhati-hati) bahawa kongres AS akan mencapai persetujuan untuk langkah-langkah rangsangan fiskal, bertujuan memulihkan ekonomi.

Bursa tempatan mengambil petunjuk daripada belian bersih asing untuk ditutup 0.7 peratus lebih tinggi pada 1,530.4 mata, paras yang tidak dilihat dalam tempoh lebih daripada dua minggu.

Berdasarkan asas tahunan setakat ini (YTD), dana asing telah mengeluarkan sejumlah RM22.3 bilion bersih ekuiti tempatan daripada Bursa Malaysia.

Sekiranya dibandingkan dengan rakan Asia yang lain seperti Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Indonesia dan Filipina, Malaysia masih lagi mempunyai aliran keluar bersih ketiga terkecil berdasarkan asas tahunan setakat ini.

Korea Selatan dan Taiwan mempunyai aliran keluar bersih asing terbesar YTD, masing-masing melebihi AS$20 bilion dan dari segi penyertaan, pelabur asing kekal aktif di Bursa Malaysia dengan purata nilai dagangan harian yang menggalakkan, melepasi RM1.0 bilion. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button