Berita Utama

Kadar pengangguran Sabah dijangka meningkat lagi

Pertumbuhan ekonomi perlu diutamakan sebelum aspek pembangunan

KOTA KINABALU, 24 Safar 1442H, Isnin – Kadar pengangguran di Sabah dijangka meningkat pada masa hadapan sekiranya tiada pelan pembangunan ekonomi yang menyeluruh diperkenalkan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, kadar pengangguran di Sabah berada pada tahap tertinggi iaitu 5.8 peratus pada 2019. 

Katanya, kadar pengangguran di negeri itu berbeza pada 2014, hanya sebanyak 4.9 peratus.

Demikian juga dengan kadar inflasi di Sabah yang dicatat begitu rendah pada tahap 0.2 peratus pada 2019, kata Dr Irwan.

“Ini bermakna, sudah ada tanda tekanan deflasi kepada ekonomi Sabah. Keadaan deflasi ini sebenarnya lebih buruk daripada inflasi – nilai aset akan merosot

“Peniaga tidak ada insentif untuk merancakkan aktiviti perniagaan mereka dan kadar upah juga tidak akan meningkat.

“Ini semua memberikan prospek buruk kepada rakyat dan ekonomi Sabah secara keseluruhannya,” katanya dalam menerusi artikel yang disiarkan BH Online, hari ini. 

Lebih parah, Dr Irwan berkata, Sabah adalah negeri yang paling miskin di Malaysia dengan mencatat kadar kemiskinan paling tinggi, iaitu pada kadar 19.5 peratus.

Selain itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) merosot begitu teruk pada 2018 dengan ekonominya hanya berkembang pada tahap 1.5 peratus.

“Kemerosotan dalam pertumbuhan ini berterusan pada 2019, dengan ekonomi Sabah hanya berkembang pada kadar 0.5 peratus, iaitu sebelum penularan COVID-19 lagi,” katanya.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan baharu di Sabah menggubal dan seterusnya memperkenalkan satu visi serta pelan pembangunan ekonomi menyeluruh kepada Sabah dan seluruh rakyat negeri itu.

“Mungkinkah Sabah maju menjelang 2035? Dalam konteks ekonomi Sabah, pertumbuhan perlu diutamakan dahulu sebelum aspek pembangunan,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button