Berita UtamaDunia

Majoriti netizen negara Arab tentang perjanjian normalisasi

Anggap perjanjian damai Israel-UAE satu 'pengkhianatan'

TEL AVIV, 24 Safar 1442H, Isnin – Sebilangan besar hantaran media sosial di negara Arab mengenai perjanjian normalisasi antara negara haram Israel, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain adalah ‘negatif’, kata laporan yang diterbitkan Kementerian Hal Ehwal Strategik Israel.

Laporan sembilan halaman itu mendapati bahawa 81 peratus pengguna media sosial Arab mempunyai komen ‘negatif’ mengenai perjanjian normalisasi, juga dikenal sebagai Abraham Accords, sementara lapan peratus berpendapat ‘sangat negatif’ dan hanya lima peratus melihatnya secara positif.

Menurut laman sesawang The Times of Israel, tinjauan yang dilakukan oleh kementerian dan dilakukan antara pertengahan Ogos hingga pertengahan September menunjukkan hampir separuh daripada komen – 45 peratus – yang diterbitkan di negara Arab menganggap perjanjian Israel-UAE satu ‘pengkhianatan’.

Dua puluh tujuh peratus menyatakan kekesalannya terhadap perjanjian UAE dengan Israel, 10 peratus menganggap perjanjian itu ‘kemunafikan’ sementara lima peratus percaya bahawa Abu Dhabi menyerah kepada kepentingan Amerika Syarikat (AS).

Kementerian itu mengesyorkan pelancaran kempen dalam talian ‘bagi mengubah persepsi mengenai Israel, dengan fokus pada negara Arab’ untuk ‘memberikan maklumat yang lebih seimbang dan boleh dipercayai, termasuk dalam konteks legitimasi mengenai Israel.’

Ogos lalu, UAE dan Israel mengumumkan perjanjian – disokong AS – untuk menormalkan hubungan, termasuk membuka kedutaan di wilayah masing-masing.

Kesepakatan normalisasi itu disambut dengan kecaman yang meluas dari rakyat Palestin.

Raya-rata mendakwa, perjanjian itu tidak memenuhi perjuangan Palestin dan mengabaikan hak mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button