Berita Utama

MB Selangor minta MKN pertimbang semula pelaksanaan PKPB

Masih ada kawasan dikategori zon hijau, kuning

BANGI, 24 Safar 1442H, Isnin – Kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segera supaya dapat diberi pertimbangan semula berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor secara mengejut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman berkenaan agak mengejutkan kerana keputusan mesyuarat MKN pada Isnin hanya menunjukkan Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

“Sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan tertentu yang boleh dikemukakan untuk pertimbangan MKN.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober dan dijadual berakhir pada 27 Oktober.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, kerajaan negeri berharap semua pihak bersedia dengan perubahan ini agar sama-sama kita berjaya mengawal penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif membabitkan semua pihak.

“… agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana,” katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat MKN Selangor bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk pelaksanaan PKPB di daerah Petaling berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 yang membimbangkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button