Berita Utama

Negara kurang pakar psikiatri, syor tambah belanjawan untuk kesihatan mental

I-Medik cadang enam aspek bantu rakyat yang ada masalah mental

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Safar 1442H, Isnin – Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) mengemukakan enam cadangan kepada kerajaan supaya lebih proaktif membantu rakyat yang mengalami masalah mental.

Naib Presiden I-Medik, Dr Rozanizam Zakaria berkata, syor itu termasuk memberi keutamaan pada kesihatan mental remaja; di tempat kerja; komuniti serta di kawasan kritikal seperti luar bandar.

Katanya, kesihatan mental remaja terutama pelajar sekolah penting untuk pencegahan memandangkan 50 peratus masalah mental bermula sebelum usia 14 tahun.

“Justeru, program bagi mentari untuk remaja, kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan modul pengurusan emosi bagi pelajar wajar diwujudkan.

“Selain itu, kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK) untuk kursus psikologi keibubapaan bagi keluarga muda dan Jabatan Agama Islam melalui kursus perkahwinan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengenai kesihatan mental di tempat kerja berikutan implikasi ekonomi, Dr Rozanizam berkata, perkara itu juga perlu diteliti.

Beliau memberi contoh tiada perjawatan kaunselor di jabatan kerajaan seperti wisma Persekutuan atau negeri sedangkan ramai kakitangan kerajaan yang mengalami masalah stres.

“Sementara bagi kesihatan mental dalam komuniti, pencegahan, perawatan dalam komuniti dan rehabilitasi bagi meningkatkan keupayaan pesakit untuk kembali kepada masyarakat.

“Sebagai contoh meningkatkan kapasiti Klinik Kesihatan untuk mengadakan ‘mobile team’ bagi menyuntik ubat kepada pesakit kawasan pedalaman. Banyak Klinik Kesihatan mengadu tidak cukup kakitangan serta kenderaan untuk menghantar,” katanya.

Syornya lagi, pemberdayaan khidmat kaunseling atas talian antaranya mewujudkan Acute Crisis Centre 24 jam yang boleh disambung terus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Peningkatan kualiti perkhidmatan melalui peningkatan perjawatan bagi jawatan-jawatan kritikal seperti jawatan kaunselor, pembantu psikologi, pakar psikologi dan pakar psikiatri

“Malah penempatan di kawasan kritikal seperti luar bandar wajar diberi keutamaan,” katanya.

Meskipun begitu, Dr Rozanizam berpandangan kekurangan pakar psikatari serta belanjawan khusus untuk kesihatan mental perlu diteliti terlebih dahulu.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, hampir setengah juta rakyat di negara didapati mengalami simptom tekanan atau depresi.

Penaung Befrienders Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kajian NHSM 2019 itu juga mendapati 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental.

Dr Rozanizam berkata, kadar satu pakar psikiatri bagi anggaran 100 ribu rakyat Malaysia – contoh dengan prevalensi lapan peratus kemurungan, maka untuk penyakit kemurungan sahaja, dianggarkan 1.6 juta rakyat Malaysia dewasa mengalami kemurungan – jauh lebih ramai berbanding kapasiti pakar psikiatri yang ada.

Katanya, data pada 2018 menunjukkan hanya terdapat 15 pakar psikologi klinikal di sektor awam malah belanjawan khusus untuk kesihatan mental adalah sebanyak RM344.82 juta iaitu hanya satu peratus dari keluruhan belanjawan kesihatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button