Perjuangan petugas barisan hadapan di Sabah kritikal
Kawalan di sempadan negeri diperketat untuk putuskan rantaian jangkitan

BANGI, 24 Safar 1442H, Isnin – Perjuangan petugas barisan hadapan di Sabah dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 kini mencapai tempoh kritikal, tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berdasarkan pengawasan komuniti, pengesanan kontak bagi mengesan, menguji, mengasingkan dan merawat individu yang dijangkiti.
Selain itu, katanya, pendekatan memperketatkan kawalan di sempadan negeri dan daerah di Sabah juga dilaksanakan.
“Tujuannya untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 daripada terus merebak.
“Strategi kami berdasarkan kepada pemantauan komuniti, pengesanan kontak dengan mencari, menguji, mengasing dan merawat semua individu yang dijangkiti.
“… serta memutuskan rantaian jangkitan seterusnya dengan memperketat sempadan negeri dan daerah,” katanya menerusi hantaran Twitter hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 561 kes baharu di negara ini dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, sebanyak 488 kes.