Berita Utama

Rebut peluang jadi sukarelawan di Sabah

Pengalaman kendali bencana secara organisasi bawah KKM

BANGI, 24 Safar 1442H, Isnin – Petugas perubatan dan kesihatan yang belum pernah bertugas di pedalaman Sabah dan Sarawak disarankan mengambil peluang dengan menawarkan diri sebagai sukarelawan dalam usaha menangani gelombang ketiga COVID-19.

Bahkan mereka yang belum pernah menyertai mana-mana misi kemanusiaan juga diminta tidak melepaskan peluang keemasan itu, kata Pakar Perunding di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Beliau berkata, misi itu adalah peluang untuk mereka menimba pengalaman secara terancang tanpa perlu mengambil cuti tahunan dan menggunakan duit poket sendiri.

“Pengalaman pertama anda ke Sabah ini cukup berbeza dengan geografi di Semenanjung.

“Anda akan lebih menginsafi realiti masyarakat di pedalaman Sabah, yang sangat berbeza berbanding dengan pengalaman anda bekerja di hospital atau Klinik Kesihatan di bandar dan kota di Semenanjung.

“Malah anda berpeluang untuk menimba pengalaman mengendalikan bencana secara berorganisasi di bawah Kementerian Kesihatan (KKM),” kataya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut yakin bahawa perjalanan dan pengalaman yang bakal dilalui petugas perubatan dan kesihatan pastinya sangat berharga dan menginsafkan.

Semalam, KKM dilapor merayu lebih ramai petugas perubatan dan kesihatan tampil menawarkan diri sebagai sukarelawan untuk membantu usaha menangani gelombang ketiga penularan COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Tumpuan utama keperluan sukarelawan dan petugas perubatan ketika ini adalah di Sabah yang menjadi zon merah pandemik itu dengan kumulatif kes kini mencapai 4,330 kes termasuk 488 kes direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara keperluan ketika ini adalah mengerahkan petugas kesihatan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu, Sabah bagi membantu menangani lonjakan kes COVID-19 di sana.

Setakat ini, katanya, seramai 475 petugas kesihatan pelbagai kategori dan skim perkhidmatan sudah dikerahkan ke empat kawasan itu, dan mobilisasi pasukan bantuan secara dalam negeri di Sabah dilakukan sejak awal peningkatan bilangan kes COVID-19 di negeri itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button