Berita Utama

Tak perlu pilihan raya dalam masa terdekat

Fokus utama hindari COVID-19, bukan tayang 'drama pentadbiran'

BANGI, 24 Safar 1442H, Isnin – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan peningkatan kes positif COVID-19 wajar dijadikan iktibar bahawa Malaysia tidak perlu mengadakan apa-apa pilihan raya dalam masa terdekat.

Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, disebabkan segelintir mereka yang baharu pulang dari Sabah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan tidak melaksanakan kuarantin sendiri di rumah menyebabkan COVID-19 terus merebak.

“Adegan sebegini sebenarnya ‘memeningkan’ pentadbiran dan pihak berkuasa yang sedang berhadapan dengan pelbagai ragam dalam menangani COVID-19 itu.

“Seharusnya semua pihak tanpa mengira apa fahaman dan pegangan bersama-sama ke arah mengatur perancangan bagi mengatasi COVID-19,” kata Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara itu.

Menulis di Sinar Harian hari ini, beliau berkata, langkah pencegahan terbaik adalah setiap individu mengamalkan SOP pada bila-bila masa dan di mana jua, bukannya bermusim atau ‘takut’ dengan pihak berkuasa.

Katanya, walaupun pihak kerajaan telah memberi kelonggaran demi memulihkan ekonomi dan sektor lain, ini bukan bermakna rakyat bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan dan melanggar SOP.

“Kelekaan dan melupakan kehidupan normal baharu mengundang padah. Rahsia Malaysia dapat mengekang COVID-19 beberapa bulan lalu kerana rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kenapa pada akhir-akhir ini pula kita melupakannya?,” soalnya.

Beliau menyifatkan, keputusan kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun angka kes COVID-19 melonjak tinggi ketika ini langkah tepat.

“Pihak berkuasa mendapati kes ketika ini masih localised atau penularan tempatan. Jika pihak berkuasa dapat membedung penyakit ini dengan betul COVID-19 boleh kawal.

“Bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, namun semua pihak bertanggungjawab dalam mematuhi semua arahan dan SOP demi menjaga diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Tidak terkecuali walau siapa pun anda,” katanya.

Prof Ismail menegaskan, fokus sekarang semestinya bagaimana untuk memastikan keselamatan dan menghindari penyakit yang berbahaya ini daripada terus menyerang kembali.

Paling penting, katanya, ketika ini bukan masa untuk ‘berpolitik’ atau terus menayangkan ‘drama pentadbiran’.

“Keadaan ini menjelaskan bahawa Malaysia tidak perlu mengadakan apa-apa pilihan raya negeri atau umum dalam masa terdekat.

“Beberapa negara contohnya New Zealand, menangguhkan pilihan raya umum negara berkenaan untuk lebih memfokuskan pengurusan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button