Berita Utama

Langkah laksana PKPB tepat, elak wabak tersebar luas

Elak berkumpul di khalayak, jaga etika ketika bersin

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 26 Safar 1442H, Rabu – Tindakan kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah wajar.

Presiden I-Medik, Prof Dr Azmi Md Nor berkata, perintah itu penting susulan peningkatan drastik kes COVID-19 di negara ini.

Katanya, sekiranya perkara itu tidak dilaksanakan, semakin banyak kes akan menular ke luar negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau turut menyatakan kekhuatiran akan penularan wabak itu berikutan ramai individu pulang dari Sabah yang merentas ke Semenanjung Malaysia.

“Jadi, kalau kerajaan tak laksana PKPB, maka ramai akan rentas negeri dan lagi banyak kes akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga 27 Oktober depan.

PKPB turut dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa 12.01 tengah malam semalam hingga 26 Oktober ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling dan Gombak.

Mengulas lanjut, Prof Azmi menegaskan bahawa selain pemakaian pelitup muka dan penggunaan pensanitasi tangan penting bagi mencegah penularan COVID-19, masyarakat di negara ini turut diingatkan supaya mengelakkan berkumpul dalam bilangan ramai.

Beliau berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk berkunjung ke pusat beli-belah dan kawasan pengumpulan orang ramai sekiranya tiada urusan penting perlu diselesaikan.

Malah katanya, setiap individu perlu menjaga etika ketika bersin bagi melindungi orang lain yang berada di sekitar mereka.

“Ini kerana kalau kita bersin, ‘droplet’ akan tersebar dalam jarak tertentu. Sebab itu kita juga kena gunakan lengan baju (ketika bersin).

“Kuman juga disebarkan melalui pernafasan selain sentuhan tangan yang kerap menyentuh hidung, mata dan anggota baju. Ia juga tidak tersebar melalui pakaian,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button