Berita Utama

Kes buli: Sekolah, asrama patut jadi tempat selamat untuk pelajar

Syor KPM, Mara lihat semula peranan dan fungsi warden

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Bukan sahaja perlu menjadi tempat selamat, pelajar juga sepatutnya merasakan emosi mereka dilindungi apabila berada di sekolah dan asrama tanpa sebarang perbuatan buli fizikal atau mental.

Justeru, sudah sampai masanya untuk Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula punca budaya buli yang sering berlaku dalam kalangan pelajar sekolah khususnya di asrama.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, biarpun perbuatan buli tersenarai antara kesalahan berat yang boleh mengakibatkan pelaku dibuang sekolah, namun KPM perlu mewujudkan usaha mendidik dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam jiwa setiap pelajar supaya salah laku itu tidak berulang.

“Aspek kerohanian dan pendidikan agama perlu ditekankan sebagai asas pengukuhan jati diri pelajar.

“Pegangan agama menjadi benteng kepada pelajar daripada terlibat salah laku disiplin,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas video tular di media sosial memaparkan tindakan beberapa remaja – yang dipercayai berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)- menumbuk dan menendang seorang pelajar secara beramai-ramai.

Menerusi video berdurasi 13 hingga 30 saat itu, seorang remaja dilihat menjadi mangsa buli apabila dia diminta berdiri tegak sebelum ditendang di bahagian belakang badan serta ditumbuk beberapa kali di perut oleh beberapa remaja lain.

Insiden itu mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang mengesahkan bahawa kejadian itu tidak membabitkan institusi bawah KPM, namun memaklumkan tindakan susulan telah diambil.

Malah, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga mengesahkan kejadian itu dan berjanji tidak berkompromi serta mengambil tindakan tegas terhadap pelajar dan pihak terlibat dalam kes terbabit.

Mengulas perkara itu, Ustaz Mohd Azizee berharap, pihak sekolah tidak bersikap menyembunyikan sebarang kes buli yang berlaku dan bertindak segera bagi membendung budaya salah laku berkenaan.

“Ini bagi mengelakkan kebimbangan ibu bapa dan kepercayaan masyarakat kepada institusi pendidikan. Buli adalah satu kesalahan berat dan jenayah yang wajib dibanteras terutama di sekolah-sekolah asrama.

“Semua pihak, ibu bapa, guru dan masyarakat perlu mengambil peduli bahaya buli dan kesannya terhadap pemangsa. Langkah pencegahan hendaklah diutamakan sebelum ia merebak menjadi barah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya KPM dan Mara melihat peranan serta fungsi warden, sama ada mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan atau sebaliknya.

“Sudah tiba masanya penjawatan warden khas diadakan dan juga nisbah warden kepada murid-murid dikecilkan dari sedia ada iaitu satu warden untuk 50 murid,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button