Berita Utama

6 kematian akibat denggi setakat 10 Oktober di Kelantan

Kes dijangka meningkat hingga hujung tahun

KOTA BHARU, 25 Safar 1442H, Selasa – Enam kes kematian akibat denggi dicatatkan di Kelantan sejak Januari hingga 10 Oktober lepas iaitu jumlah yang sama berbanding kes kematian sepanjang 2019.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, walaupun kumulatif kes denggi di Kelantan pada tahun ini telah menunjukkan penurunan sebanyak 21.93 peratus iaitu 3,714 kes berbanding 4,757 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu namun ia dijangka meningkat sehingga hujung tahun.

Menurutnya, peningkatan kes ini dijangka akan berterusan sekiranya masyarakat masih tidak peduli untuk memastikan persekitaran rumah masing-masing bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata, JKNK memandang berat serta menyeru seluruh lapisan masyarakat di seluruh negeri agar segera membuat pemeriksaan sendiri persekitaran rumah kediaman atau premis masing-masing dengan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan luar rumah.

“Sehingga kini hasil pemeriksaan pasukan kesihatan ke atas rumah kediaman adalah amat mengecewakan kerana masih terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes ditemui di sekitar dalam dan luar rumah kediaman penduduk walaupun pelbagai usaha, hebahan dan peringatan telah diberikan.

Sehingga kini, hasil pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 323,198 premis dan rumah kediaman mendapati sebanyak 13,999 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

“Pihak jabatan ini juga telah mengeluarkan sebanyak 2,431 kompaun yang nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.2 juta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 jika rumah kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan nyamuk aedes maka kompaun (saman) maksimum sebanyak RM500 akan dikeluarkan (tidak dibenarkan untuk rayuan pengurangan).

Selain itu, sebanyak 779 notis telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button