Berita Utama

Ada kemungkinan senarai MP sokong Anwar belum muktamad?

Lantik PM interim antara syor utama jika dakwaan Anwar benar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 25 Safar 1442H, Selasa – “Kemungkinan besar senarai Ahli Parlimen yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, hari ini masih belum lengkap.”

Demikian kata penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain susulan pertemuan tokoh itu dengan Agong pagi tadi.

Terdahulu, Anwar mendakwa beliau telah mempersembahkan dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 Ahli Parlimen terhadapnya kepada Agong dalam pertemuan pagi tadi.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Negara Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Anwar hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokong beliau, tanpa mengemukakan senarai nama untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Mengulas perkara itu, Prof Ahmad Atory berkata, beliau yakin, senarai itu ada namun belum dimuktamadkan lagi oleh Ahli-Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya itu.

Katanya, rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menunggu tindakan selanjutnya dari pihak Istana Negara yang dijangka akan memanggil ketua-ketua parti membuat pengesahan dalam masa terdekat.

“Sekiranya benar dan sahih senarai nama Ahli Parlimen menyokongnya itu, terdapat beberapa cara yang mungkin akan dilaksanakan oleh Agong termasuk meminta Anwar membuat usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun, kaedah itu agak lambat.

“Kemungkinan Agong juga akan minta untuk ditangguhkan dahulu daripada diadakan persidangan tergempar Parlimen undi tidak percaya itu kerana situasi COVID-19 yang memburuk ketika ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Prof Ahmad Atory berkata, selain kaedah tersebut, Agong juga boleh memanggil Perdana Menteri untuk menghadapnya setelah akuan bersumpah dari Anwar telah dipastikan kesahihannya.

“Kalau betul ada bukti nyata, jadi tidak perlu ke Parlimen. Hanya Muhyiddin dipanggil menghadap Agong bagi mengetahui sama ada beliau sendiri mahu letakkan jawatan atau pun tidak.

“Selain daripada PM meletakkan jawatan, Agong juga terdapat pilihan untuk membubarkan Parlimen. Pun begitu, kita terpaksa berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) selepas 60 hari Parlimen dibubarkan. Kita tidak mahu pengalaman di Sabah baru-baru ini terjadi sekali lagi,” katanya.

Justeru, katanya, bagi mengelakkan berlaku PRU ketika musim COVID-19, beliau mengesyorkan Agong menggunakan kaedah melantik Perdana Menteri interim yang Seri Paduka berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Jika dilantik seorang PM interim tidaklah kita terkejar masa 60 hari bersamaan dua bulan itu untuk kita laksanakan PRU. PM interim selama enam bulan pun boleh. Jadi jika keadaan kembali reda, mungkin PRU boleh diadakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button