Agong nasihat Anwar hormati proses perundangan dalam Perlembagaan
Al-Sultan Abdullah ajak rakyat tanpa kira agama bersatu perangi COVID-19

BANGI, 25 Safar 1442H, Selasa – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, Istana Negara mengesahkan Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Negara pada jam 11 pagi tadi.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi selama 25 minit itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.
“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.
“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
23 September lalu, Anwar mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendakwa mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah pada 22 September, tetapi ditangguh susulan Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Minggu lalu, Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan mendapat perkenan menghadap baginda di Istana Negara hari ini.
Mengulas situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan kegusaran dan menasihati rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri dengan mematuhi kebiasaan baharu.
Walaupun perkembangan terkini membimbangkan menerusi peningkatan kes harian dan kluster baharu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu memerangi penularan COVID-19.
“Adalah dimaklumkan juga, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) yang telah berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.
“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan COVID-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.