Istana Negara bijak dedah plot perancangan Anwar
Fahami mesej negara depani cabaran lebih besar daripada perebutan kuasa

BANGI, 25 Safar 1442H, Selasa – Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Omar Kassim menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara susulan pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Anwar yang mendakwa telah mendapat sokongan lebih daripada 120 Ahli Parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan baharu, dan mempersembahkan jumlah itu kepada Agong ketika mengadap Seri Paduka di Istana Negara pagi tadi, bagaimanapun tidak memberikan senarai nama mereka yang menyatakan sokongan terhadapnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Negara Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.
Bahkan, Agong turut menasihati Anwar untuk akur, menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas perkara itu, Ustaz Omar menyifatkan bahawa ia merupakan satu tindakan yang bijaksana oleh pihak istana, iaitu mendedahkan plot perancangan individu tersebut bagi menjaga ketenteraman awam.
“Sekali pun tindakan yang amat memalukan dan amat tidak bijak telah dilakukannya. Terbongkar sudah sedikit demi sedikit,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Beliau berkata, terdapat mesej tersirat yang disampaikan pihak Istana Negara dalam kenyataannya yang turut menyentuh berkenaan isu COVID-19.
“Mesej yang sewajarnya difahami dari kenyataan istana ialah negara memiliki cabaran yang lebih besar berbanding kerakusan seorang individu yang mabuk mengejar takhta,” katanya.