Berita Utama

Istana Negara jadi tumpuan media

Tunggu ketibaan Anwar yang dijadual menghadap Agong

KUALA LUMPUR, 25 Safar 1442H, Selasa – Istana Negara menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa pagi ini yang menantikan ketibaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Istana Negara.

Seawal 8 pagi, pengamal media telah berkumpul di sekitar Pintu 2 Istana Negara dan di kaki lima Jalan Dungun di sini bagi menunggu ketibaan Ahli Parlimen Port Dickson itu yang dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Petugas media yang masing-masing memakai pelitup muka dinasihati anggota polis bertugas agar menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.

Petugas media yang berkumpul di luar Istana Negara mendapat kejutan istimewa apabila Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim mendekati mereka dan memberikan sarapan pagi.

Pada Khamis lepas, Anwar dalam satu kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah telah memperkenan beliau menghadap Seri Paduka hari ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pada 23 September, Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada kalangan Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button