Berita Utama

Jadi punca peningkatan COVID-19, Kabinet didesak potong gaji

Kerajaan sendiri akui PRN Sabah sebab berlakunya gelombang ketiga

BANGI, 25 Safar 1442H, Selasa – Anggota Kabinet dan Ahli Parlimen didesak, memotong gaji serta elaun untuk disalurkan kepada mereka yang terjejas ekoran daripada peningkatan mendadak kes COVID-19 di negara ini.

Usaha tersebut difikirkan wajar selepas kerajaan sendiri mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah merupakan di antara punca Malaysia dibadai gelombang ketiga pandemik berkenaan.

Selain itu, Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (ANGKASA), Hazwan Mohamad melihat, tindakan berkenaan sebagai satu sokongan moral kepada rakyat untuk terus berjuang berdepan wabak yang belum ditemui penawarnya itu.

“Saya juga sekali lagi ingin mendesak seluruh Kabinet menteri dan Ahli Parlimen untuk memotong satu bulan gaji dan elaun diterima untuk dimasukkan dalam tabung khas bencana.

“Ini bagi menunjukkan sokongan moral khususnya gelombang ketiga COVID-19 ini sememangnya tercetus semula dari Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, kerajaan mengakui kempen PRN Sabah yang berlangsung September lalu menjadi antara punca peningkatan kes positif baru COVID-19.

Susulan perkembangan semasa penularan COVID-19 di Malaysia, ramai pihak menyatakan kebimbangan mengenai hasrat mengadakan apa-apa pilihan raya dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, Hazwan berkata, kerajaan wajar membentangkan pelan perluasan tindakan untuk membantu rakyat seiring dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Katanya, langkah itu dilihat perlu bagi mereka pekerja di barisan hadapan yang bertugas tanpa memikirkan penat lelah, serta peniaga kecil yang sedikit sebanyak terkesan dengan PKPB.

Bahkan termasuk juga para usahawan dan pekerja makan gaji dalam sektor kecil dan sederhana serta ribuan pekerja di sektor swasta yang telah lebih awal lagi terpaksa dibuang kerja, katanya.

“Insentif-insentif yang sesuai dan berkesan perlu diperkenalkan dan diperluaskan lagi bagi melindungi golongan B40 dan M40 daripada dampak kesan ekonomi hasil dari PKPB dan pasca kejatuhan ekonomi kini.

“Pihak institusi-institusi kewangan seperti bank perlu memikirkan semula plan khas untuk melanjutkan insentif moratorium sehingga akhir tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button