Berita Utama

Langkah Anwar: Mengucap panjang! Mujur istana selamatkan keadaan

Rakyat letih dengan tindak-tanduk pemimpin politik menjengkelkan

BANGI, 25 Safar 1442, Selasa – “Nasib baik Istana Negara cepat mengeluarkan kenyataan, jika tidak sudah tentu kita semua terpedaya dengan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata demikian ekoran kesal dengan situasi dan kenyataan yang dikeluarkan Presiden PKR itu sebentar tadi, setelah dengan yakinnya mengatakan bahawa beliau sudah mempersembahkan dokumen jumlah sokongan seramai 120 Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Walhal, pada hakikatnya, katanya lagi, Anwar hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokong beliau dan tidak mengemukakan senarai nama untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Mengucap panjang saya. Wayang apakah yang sedang dimainkan ini? Perkara sebegini serius pun tidak dibuat begitu serius.

“Sebelum ini, beliau ada menyebut bahawa dalam majlis mengadap YDPA, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang disebut sebelum ini. 

“Ternyata, kenyataan beliau agak bercanggah?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Prof Mohd Ridhuan Tee berkata, rakyat yang berpandukan kepada Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, pastinya akan jauh lebih mempercayai titah diraja daripada kata-kata mainan orang politik.

“Sudah-sudahlah. Banyak lagi kerja kita. Rakyat sudah bosan dengan permainan ini. Banyak masa dan tenaga habis begitu sahaja. 

“Sedih tengok wartawan, sanggup bersusah payah berjemur, menanti di luar Istana untuk mendapatkan bahan berita, sehingga YDPA mencemar duli, menghulurkan sarapan untuk mereka.   

“Tunggu punya tunggu, rupanya kenyataan berita yang diberikan sekadar hampas. 

“Berhentilah daripada permainan politik ini. Kita, sebagai rakyat marhaen sudah letih dengan tindak-tanduk pemimpin politik yang menjengkelkan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button