Berita Utama

Malaysia bakal penerima utama vaksin COVID-19 dibangunkan China

Dijangka dapat digunakan masyarakat umum pada awal November

KUALA LUMPUR, 25 Safar 1442H, Selasa – China bersetuju menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama vaksin COVID-19 yang dihasilkan negara itu sebaik ia berjaya dibangunkan kelak, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menteri Luar itu mengumumkan perkara berkenaan pada sidang media bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, di sini, Selasa.

“Kami mengalu-alukan dan menghargai komitmen China dalam menyediakan vaksin COVID-19 buatan China, setelah berjaya dibangunkan dan menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama.

“Kami juga menyambut baik kesepakatan China untuk menggalakkan perusahaan China menjalin kerjasama dengan rakan kongsi Malaysia dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin dan pengedaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Malaysia juga memantau rapat perkembangan vaksin itu dan mendapatkan vaksin menjadi keutamaan kerajaan.

“Jika kita ingin mencari jalan menangani COVID-19 hanya ada dua cara untuk melakukannya, salah satunya mencegah dengan vaksinasi, satu lagi dengan ubat,” tambahnya.

Beliau berkata, China telah mengumumkan vaksin itu, kini sedang dibangunkan di negara itu dan dijangka dapat digunakan masyarakat umum pada awal November.

“Kunjungan (Wang Yi) ke Kuala Lumpur menjadi platform baharu bagi kita memastikan kita tidak ketinggalan dalam kerjasama dan koordinasi vaksin,” katanya.

“Di pihak kementerian luar, kita perlu terus berunding dan meyakinkan (bahawa) Malaysia membuat perjanjian diplomatik dengan rakan-rakan kita untuk memastikan kita membuat keputusan berdasarkan percubaan dan apabila diumumkan kelak, Malaysia tidak akan ketinggalan,” ujar Hishammuddin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button