PKPB: JAIS tangguh majlis akad nikah di masjid, surau mulai esok
Perlu dapat kelulusan khas untuk kehadiran fizikal tak lebih 3 orang

BANGI, 25 Safar 1442H, Selasa – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan menangguh pelaksanaan majlis akad nikah di masjid dan surau seluruh negeri, berkuat kuasa mulai esok.
Pengarah JAIS dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat merujuk pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober depan.
“Pelaksanaan majlis akad nikah dengan kehadiran fizikal tidak melebihi tiga orang atau apa-apa bentuk lainnya di Pejabat Agama Islam Daerah hanya akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan khas Pengarah JAIS,” katanya hari ini.
Semalam, kerajaan mengumumkan bersetuju melaksana PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, selepas mengambil kira peningkatas kes dan penularan COVID-19 di Klang, Petaling serta Gombak.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi keputusan itu, masjid, surau, rumah ibadat ditutup, selain tidak membenarkan semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, budaya serta majlis perkahwinan diadakan.
Bagaimanapun, semua kegiatan ekonomi, industri dan perkilangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa dan prosedur operasi standard (SOP) lanjut serta terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat.