Berita Utama

Sudah-sudahlah Anwar, insaf segera!

Jangan lagi jadi politikus fikirkan diri sendiri

BANGI, 25 Safar 1442H, Selasa – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya segera insaf dan tidak lagi mengucar-kacirkan keadaan negara.

Ketua Pemuda Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (ANGKASA), Hazwan Mohamad beranggapan, masa kini bukanlah waktu yang sesuai bagi Anwar bersikap mementingkan diri sendiri.

Beliau turut menasihati Ahli Parlimen Port Dickson itu supaya sudah-sudahlah daripada menjadi politikus yang tidak bertanggungjawab.

“DS Anwar Ibrahim politikus gila kuasa yang hanya memikirkan diri sendiri semata-mata.

“Apa-apa pun beliau telah berjaya mengucar-kacirkan suasana politik tanah air. Insaflah DS Anwar Ibrahim, sudah-sudahlah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Istana Negara telah mengesahkan Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Negara pada jam 11 pagi tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi selama 25 minit itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

23 September lalu, Anwar mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button