Berita Utama

Teka-teki belum terungkai, siapa dalam senarai 120 sokong Anwar?

Senarai tak didedahkan dalam sidang media selepas menghadap

KUALA LUMPUR, 25 Safar 1442H, Selasa – Sesi menghadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditunggu-tunggu hari ini masih tidak dapat merungkai ‘mainan’ angka yang kekal menjadi tanda tanya.

Kehadirannya di Istana Negara pagi tadi ditambah sidang media ‘pengumuman penting’ tidak berjaya memberi apa-apa bayangan kukuh mengenai sebarang perubahan kepada kerajaan Persekutuan.

Malah persoalan mengenai senarai nama lebih 120 Ahli Parlimen yang didakwa Anwar memberi sokongan kepadanya turut tidak terjawab, selepas ia tidak didedahkan beliau dalam sidang media khasnya beberapa jam selepas sesi menghadap Seri Paduka.

Lebih menimbulkan tanda tanya, Istana Negara pula kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan hanya mengemukakan jumlah, tanpa senarai nama.

Presiden PKR itu dalam sidang media turut mendakwa bahawa Al-Sultan Abdullah memerlukan masa untuk memanggil semua ketua parti untuk mengesahkan dokumen ‘sahih’ sokongan terhadapnya.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dari pihak Istana Negara mengenainya namun tengah hari tadi dilaporkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara pada jam 2.40 petang.

Di sebalik episod politik yang berlaku hari ini, kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun dilihat berfungsi seperti biasa dengan beliau menganjurkan sidang media maya khas bersama wartawan jam 5 petang.

Dalam pada itu, sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sidang media mengenai perkembangan COVID-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berjalan seperti biasa.

Angka ‘120’ ini mula menjadi perhatian rakyat Malaysia terutama pemerhati politik selepas Anwar dalam satu sidang media 23 Sept lalu mendakwa mendapat sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.

Pada hari sama, Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan PN masih teguh dan beliau masih Perdana Menteri yang sah, menambah bahawa Anwar perlu membuktikan dakwaan berhubung sokongan majoriti diperolehinya mengikut proses dan kaedah ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Muhyiddin dalam sesi bersama media hari ini menyatakan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk membuat keputusan, berhubung dakwaan Anwar itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button