Berita Utama

Tiada maaf lagi, singkirkan anggota PDRM terpalit rasuah

Masalah dihadapi PDRM serius, umpama kanser peringkat 4

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 25 Safar 1442H, Selasa – Keadaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dilihat semakin tenat, ekoran daripada laporan terdapat anggotanya yang terlibat dengan gejala rasuah.

Situasi yang boleh diumpamakan seperti penyakit kanser tahap empat itu bagaimanapun, masih mampu dipulihkn demi kebaikan pasukan unit beruniform berkenaan.

Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) melalui Ketua Medianya, Haji Rashidi Haris mencadangkan, anggota yang terlibat dalam kes rasuah disingkirkan daripada agensi tersebut.

“Kalau diubati sekali pun agak sukar untuk sembuh, melainkan satu cara sahaja iaitu buang semua polis-polis korup dalam PDRM.

“Pihak JIPS perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti. Jangan ada lagi istilah kasihan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan, penahanan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain berhubung kes pengubahan wang haram melibatkan sindiket penipuan Macau Scam.

Setakat ini, SPRM sudah membekukan lebih RM80 juta daripada 730 akaun bank dan menyita wang tunai berjumlah RM5 juta.

Selain itu, SPRM merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Sindiket cuci wang itu dipercayai melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan ke dalam perniagaan dijalankan selebriti dan personaliti terkenal tanah air serta usahawan kosmetik tempatan.

Mengulas lanjut, Haji Rashidi turut mempersoalkan bagaimana ‘scammer’ boleh mendapatkan nombor telefon mangsa dengan mudah.

Soalnya, apakah mereka menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain yang memiliki kesemua maklumat tersebut.

“Bagaimana informasi peribadi seperti kad pengenalan, nombor telefon ini diketahui scammer yang kemudiannya digunakan untuk memperdayakan orang ramai?

“Adakah ada penyelewengan pihak-pihak tertentu? Berdasarkan maklumat, sasaran mereka adalah pesara yang baru memiliki wang KWSP. Apakah ada orang dalam KWSP yang terlibat?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button