Berita Utama

Tumpu langkah proaktif lancarkan ekonomi Selangor ketika PKPB

Pantau pelaksanaan SOP, pada masa sama bantu rakyat terjejas

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 25 Safar 1442H, Selasa – Sebaiknya kerajaan Selangor menumpukan langkah proaktif dalam membantu sektor ekonomi negeri dan rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini.

Sebarang pertikaian terhadap keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya timbul ketika ini, apatah lagi melihat kepada trend peningkatan kes harian jangkitan COVID-19.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, inilah masanya untuk kerajaan Selangor menumpukan inisatif khususnya, bagi memastikan kelancaran sektor ekonomi negeri dan kebajikan rakyat terjaga.

“Sekarang bukan masa untuk terkejut dengan keputusan Pusat, memandangkan trend peningkatan kes ketika ini yang sepatutnya semua pihak perlu bersedia.

“Apabila diumumkan PKPB dikuat kuasa, seeloknya kerajaan negeri ambil langkah terbaik memantau kelancaran sektor ekonomi, dan pada masa sama membantu rakyat terjejas,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman PKPB bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengejutkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat menghantar cadangan balas kepada MKN  untuk menimbang semula pelaksanaan PKPB, berikutan masih ada beberapa daerah di Selangor yang berada dalam zon hijau.

Dr Abu Sofian berpandangan bahawa tiada masalah sekiranya PKPB dilaksana menyeluruh di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengawal penularan wabak secara berkesan.

“Cuma, kerajaan negeri hanya perlu peka dan mengambil inisiatif menerusi pemantauan supaya SOP dipatuhi.

“PKPB bukanlah seperti PKP. Sektor ekonomi masih berjalan seperti biasa. Cukuplah kerajaan negeri pantau pematuhan SOP dan bantuan yang bersifat tangible dan intangible,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button