Berita Utama

19 anggota IPD Cheras disahkan positif COVID-19

Bagaimanapun, operasi balai, IPD Cheras tetap berjalan seperti biasa

KUALA LUMPUR, 26 Safar 1442H, Rabu – Seramai 19 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras disahkan positif COVID-19, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata terdapat sebahagian daripada anggota dari IPD Cheras yang masih menunggu keputusan secara berperingkat, daripada Pegawai Kesihatan Daerah.

“Walaupun mereka (19 anggota positif COVID-19), operasi balai dan IPD Cheras tetap berjalan seperti biasa dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan berasingan Saiful Azly berkata, sebanyak 29 sekatan jalan raya dilakukan di sekitar ibu negara dan Putrajaya, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 12.01 tengah malam tadi.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Oktober hingga 27 Oktober.

Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di daerah Klang, Petaling serta daerah Gombak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button