Berita Utama

COVID-19: 660 kes baharu, 4 kematian dilaporkan hari ini

Sabah masih catat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 429 kes

KUALA LUMPUR, 26 Safar 1442H, Rabu – Bilangan kes positif COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan tiga angka, dengan 660 kes baharu dilaporkan hari ini, selain turut merekodkan empat kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah masih terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 429 kes atau 65 peratus, manakala Kedah mencatatkan 113 kes (17.1 peratus) dengan 109 kes adalah daripada Kluster Tembok

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 17,540 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 5,768 kes,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata, daripada 660 kes baharu yang dilaporkan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan dua warganegara dan empat bukan warganegara.

“Daripada 654 kes penularan dalam negara, 608 kes adalah warganegara Malaysia dan 46 kes adalah bukan warganegara,” katanya.

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 35 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya sebanyak 233 kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dicatatkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih adalah 11,605 kes (66.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Berhubung empat kes kematian yang dicatatkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata kesemuanya dilaporkan di Sabah, membabitkan tiga wanita dan seorang lelaki yang berusia antara 47 hingga 80 tahun.

“Dengan pertambahan empat kematian hari ini, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 167 kes (1.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button