Berita Utama

Annuar, UMNO tak sependapat? Dulukan kepentingan rakyat

Mahu UMNO-Bersatu-PAS kembali ke ‘drawing board’ politik

BANGI, 26 Safar 1442H, Rabu – Biar pun Biro Politik UMNO sebulat suara bersetuju mempertimbangkan menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN), pendirian berbeza pula disuarakan oleh Ahli Majlis Tertingginya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau dalam satu kenyataan mengakui, mungkin ada asas tertentu yang menyebabkan UMNO mahu mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan PN.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, politik negara perlu distabilkan dan keutamaan mesti ditumpu untuk menyelamatkan nyawa rakyat serta mengekang penularan COVID-19.

“UMNO dan BN berhak menyemak kedudukannya dari semasa ke semasa dan tidak mustahil melalui semakan itu kerajaan PN boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun, lebih bersefahaman.

“Saya berpandangan kita perlukan kebijaksanaan dalam semua tindakan. Dahulukan kepentingan rakyat,” katanya.

Semalam, UMNO bersetuju mempertimbang untuk menarik diri daripada menyokong PN dan memberi syarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO, semalam.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, dalam memastikan kestabilan politik negara, UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanggungjawab mewujudkan dan memperkuatkan perpaduan Melayu sebagai asasnya.

“Tidak salah untuk UMNO, PPBM dan PAS kembali ke ‘drawing board’ politik agar kita dapat melakar sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia.

“Untuk itu kita perlu tenang, banyak berfikir dan bijak bertindak. Jangan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yang boleh menimpa rakyat dan negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button