Berita Utama

Anwar bukan negarawan, perjuangannya makin bercelaru

BERJASA seru parti bertindak penuh hikmah di kala penularan wabak

BANGI, 26 Safar 1442H, Rabu – Tanggal 13 Oktober 2020 menjadi saksi kepada jutaan rakyat Malaysia bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah seorang negarawan sejati.

Sebaliknya, tarikh tersebut mengesahkan ramalan ramai pihak yang pemimpin veteran berkenaan sebenarnya tamakkan kuasa dan memiliki misi perjuangan bercelaru.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan, rakyat yang semakin cerdik sama sekali tidak dapat menerima perbuatan Anwar, walau beliau memberi alasan mahu mengembalikan mandat atau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah kehilangan majoriti.

Amarah rakyat, kata Ustaz Zamani, semakin membuak-buak tatkala tindakan ‘merampas’ kuasa dilakukan ketika pandemik COVID-19 kembali mengganas di negara ini.

Katanya lagi, sebagai Ketua Pembangkang, beliau sepatutnya menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu rakyat dan bukannya mempamerkan sisi rakus mahukan jawatan Perdana Menteri.

“Tindakan beliau ini jelas menunjukkan Anwar Ibrahim bukan seorang yang berfikiran negarawan, dia hanya seorang pemimpin parti yang sudah celaru perjuangan.

“Pertemuan selama 25 minit dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), semalam bagi saya adalah sesi persekolahan bagi Anwar sendiri. Agong telah mengambil peluang yang sangat kena pada orangnya dan tepat pada masanya.

“Kurikulum yang telah diserapkan selama 25 minit itu sudah cukup untuk Anwar menginsafi diri dan hala tuju perjuangannya. Sebenarnya kalau seorang yang memang bijak sesi persekolahan 25 minit itu sepatutnya sudah tidak perlu lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Zamani menegaskan, BERJASA dari awal lagi tidak berminat dengan peralihan kerajaan terutama sekali di saat negara sedang berhadapan ujian COVID-19. 

Beliau menegaskan, keselamatan dan kestabilan watan adalah antara agenda utama BERJASA. 

Selain itu, katanya, BERJASA juga bersetuju bahawa semua parti hendaklah bertindak dengan penuh hikmah.

“Ini kerana sesuatu perbuatan itu akan membawa kepada kepentingan yang terbaik kepada umum. Segala kepentingan peribadi dan parti pula akan membawa kepada ketidaktentuan ekonomi dan kestabilan negara.

“BERJASA dengan slogan membangunkan watan berdaulat mempelawa semua parti untuk bersama-sama dalam apa jua bentuk kerjasama demi melakar semula pentas politik baharu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button