COVID-19: Bank Dunia lulus dana RM49.7 bilion untuk negara membangun
Beri vaksinasi kepada 1 bilion penduduk antara sasaran Bank Dunia

WASHINGTON, 26 Safar 1442H, Rabu – Bank Dunia meluluskan dana sebanyak AS$12 bilion (RM49.7 bilion) bagi negara-negara membangun untuk membeli dan mengedarkan vaksin, ujian serta rawatan COVID-19.
“Pembiayaan itu, yang bertujuan untuk memberikan vaksinasi kepada satu bilion orang adalah sebahagian daripada pakej keseluruhan World Bank Group (WBG).
“Pakej itu melibatkan dana sehingga AS$160 juta (RM663 juta) hingga Jun 2021 untuk membantu negara-negara membangun memerangi wabak COVID-19,” menurut Bank Dunia dalam kenyataan.
Presiden Bank Dunia, David Malpass berkata, pengumuman terbaharu itu memberi isyarat kepada industri penyelidikan dan farmaseutikal bahawa rakyat di negara-negara membangun juga memerlukan akses kepada vaksin COVID-19 yang selamat lagi berkesan.
Selain itu, beliau berkata, pakej berkenaan membolehkan negara-negara membangun bersiap sedia untuk menggunakan vaksin setelah disediakan.
Angka terbaharu dari laman web Pusat Sumber Coronavirus Johns Hopkins University mencatatkan, jumlah kematian akibat wabak pandemik COVID-19 mencecah 1,083,875 di peringkat global.
Sementara jumlah kes global adalah 38 juta dengan Amerika Syarikat (AS), India, Brazil dan Russia masing-masing dicatatkan sebagai empat negara dengan kadar kes tertinggi. – Agensi