Berita Utama

Jawatankuasa khas berkaitan bekalan vaksin COVID-19 ditubuhkan

KKM, MOSTI sedia rangka kerja vaksin dilulus untuk kegunaan Malaysia

BANGI, 26 Safar 1442H, Rabu – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas berkaitan akses bekalan vaksin COVID-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 itu diwujudkan bagi memastikan bekalan dapat diperolehi dengan segera, selamat dan sempurna.

Ia akan diketuai secara bersama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, ia bertujuan menyediakan rangka kerja dan pelan perolehan serta pengagihan vaksin COVID-19 apabila diluluskan untuk kegunaan di Malaysia.

“Menerusinya, beberapa Jawatankuasa Kecil (JKK) dengan skop tugas seperti pemilihan vaksin, komunikasi, pendaftaran dan kelulusan, trade facilitation, kewangan penstoran, logistik dan pengangkutan serta pengagihan vaksin akan turut dibentuk merentasi pelbagai kementerian dan agensi bagi memudah cara dan mempercepatkan pelaksanaan tugas ini.

“Keputusan penubuhan jawatankuasa khas ini adalah penting bagi memastikan persediaan awal yang rapi dibuat sebelum bekalan vaksin diterima untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Luar Negeri dilaporkan berkata, China bersetuju menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama vaksin COVID-19 yang dihasilkan negara itu sebaik sahaja berjaya dibangunkan kelak.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, China telah mengumumkan vaksin itu, kini sedang dibangunkan di negara berkenaan dan dijangka dapat digunakan masyarakat umum pada awal November.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button