Berita Utama

Kontak rapat suntik dos penggalak jalani kuarantin lebih singkat

Hanya perlu kuarantin wajib 5 hari berbanding 7 sebelum ini

KUALA LUMPUR, 14 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Individu yang menjadi kontak rapat kes positif COVID-19 akan dikenakan tempoh kuarantin yang lebih singkat jika mereka telah mengambil suntikan dos penggalak.

Pada Oktober 2021, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengurangkan tempoh kuarantin rumah wajib daripada 10 kepada tujuh hari untuk kontak rapat yang divaksin sepenuhnya.

Bagaimanapun, peraturan terkini Kementerian Kesihatan, yang berkuat kuasa pada Ahad, memerlukan kontak rapat yang telah menerima suntikan penggalak hanya menjalani kuarantin selama lima hari.

Manakala bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap, belum menerima vaksinasi lengkap serta mereka yang tidak divaksinasi, sebaliknya, perlu menjalani kuarantin tujuh hari jika mereka terdedah kepada kes positif.

Berdasarka  peraturan baharu, Kementerian Kesihatan juga memerlukan kontak rapat bergejala untuk menjalankan ujian kendiri menggunakan antigen kit ujian pantas (RTK-Ag) atau pergi ke fasiliti kesihatan, jika gejala bertambah teruk.

Jika tidak, kontak rapat hanya perlu menjalani ujian RTK-Ag pada hari terakhir tempoh kuarantin mereka di kemudahan penjagaan kesihatan awam atau swasta.

Arahan terbaharu kementerian itu turut memendekkan tempoh kuarantin bagi individu yang telah divaksin sepenuhnya yang didapati positif virus itu dan tidak menunjukkan gejala pada hari ketujuh.

Bagaimanapun, kuarantin wajib 10 hari akan dikuat kuasakan bagi kes bergejala serta kes positif yang tidak divaksin sepenuhnya atau tidak divaksinasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button