Berita Utama

Menteri Agama disahkan pulih COVID-19

Disaran rehat di rumah, tak terima pelawat hingga PKPB selesai

BANGI, 26 Safar 1442H, Rabu – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dibenarkan keluar dari wad petang ini, selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19.

Beliau bagaimanapun dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berehat di rumah sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selesai.

Dr Zulkifli berkata, beliau turut disaran untuk tidak membuat sebarang pertemuan, dan hanya perlu melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya di rumah.

“Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya. Fokus utama saya buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

“Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, ahli-ahli jemaah menteri, ulama dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatannya.

“Tidak lupa kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’far Seremban.

“Saya doakan semoga rakyat Malaysia yang menghidap COVID-19, segera sembuh dan dapat kembali meneruskan kehidupan bersama-sama keluarga tercinta,” katanya.

Dr Zulkifli disahkan dijangkiti COVID-19 dan menjalani rawatan di hospital pada 5 Oktober lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button