Dunia

Penunjuk perasaan berhimpun di Bangkok, bimbang cetus konfrontasi

Menuntut Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha berundur

BANGKOK, 26 Safar 1442H, Rabu – Penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Monumen Demokrasi di Bangkok sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku konfrontasi dengan kumpulan penyokong kerajaan, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Kumpulan Khana Ratsadon, yang disertai rakyat dan mahasiswa prodemokrasi berkumpul untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada Rabu sempena ulang tahun ke-47 pemberontakan 1973.

Mereka menuntut Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha berundur selain pembukaan sesi parlimen khas untuk meluluskan pindaan rang undang-undang mengenai sektor awam dan reformasi monarki.

Kumpulan berkenaan merancang untuk berarak ke Rumah Kerajaan pada 4 petang.

Sementara itu, kumpulan penyokong setia kerajaan berhimpun di sekitar laluan di Ratchadamnoen Avenue, pada Rabu petang ketika Raja Maha Vajiralongkorn dijadual mempengerusikan istiadat konvokesyen sarjana Pali di Kuil Buddha Zamrud.

Lebih 14,000 anggota polis dikerahkan untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan.

Ketegangan antara polis dan penunjuk perasaan memuncak pada Selasa apabila 21 penunjuk perasaan, termasuk seorang aktivis berprofil tinggi, Jatupat “Pai Daodin” Boonpatararaksa ditahan ketika mereka mendirikan khemah di depan Sekolah Satriwithaya sebagai persiapan untuk mengadakan perhimpunan.

Timbalan jurucakap polis Kolonel Kissana Phathanacharoen berkata penunjuk perasaan ditahan kerana melakukan banyak kesalahan, termasuk menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran.

Mereka ditahan di balai polis Pathum Thani dan akan dibawa ke Mahkamah Jenayah di Ratchadapisek pada Rabu untuk mendapatkan perintah tahanan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button