Berita Utama

‘Politik sekarang pagi cakap A, petang kata B’

Kepentingan rakyat diketepikan, hanya selamat diri sendiri

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Safar 1442H, Rabu – Belum sejuk isu dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai majoriti kukuh sokongan daripada Ahli Parlimen, UMNO pula ‘panaskan’ politik negara dengan mempertimbang menarik balik sokongannya terhadap Perikatan Nasional (PN).

Disebabkan itu, politik yang berlaku di Malaysia kebelakangan ini bukan lagi bersifat membina rakyat, sebaliknya hanya tempat pemimpin-pemimpin atasan menyelamatkan diri masing-masing, dakwa Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris.

Kesal dengan situasi semasa politik hari ini, beliau berkata, pemimpin kebanyakan parti tidak lagi melihat kepentingan rakyat sebagai keutamaan perjuangan mereka, apatah lagi dalam keadaan negara sedang berperang dengan wabak COVID-19.

“Politik yang ada sekarang ini adalah politik yang pagi cakap A, petang cakap B dan boleh bercakap perkara bertentangan juga.

“Bahkan, politik yang kita lihat hari ini juga adalah musuh dan lawan itu sama. Sekarang musuh, lepas itu berkawan dan kemudian bermusuh balik,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan UMNO semalam, yang mempertimbang untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO semalam.

Pertimbangan yang diputuskan UMNO itu dibuat ketika kontroversi berkenaan dakwaan Anwar mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Mengulas perkara itu, Haji Rashidi menegaskan bahawa MUAFAKAT kekal dengan prinsip untuk memilih pemimpin yang berwibawa dan menolak ketaksuban kepartian.

“Kita tidak bergantung dengan parti. Bagi MUAFAKAT, kita kekal dengan prinsip memilih pemimpin yang berwibawa.

“Rakyat juga perlu peka dan bijaksana serta keluar daripada kepompong ketaksuban parti. Pilihlah pemimpin Islam yang berwibawa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button