Berita Utama

Solat Jumaat, jemaah di Selangor ditangguh hingga 27 Oktober: JAIS

Jemaah dinasihat patuh SOP, kembalikan suasana kehidupan normal

BANGI, 26 Safar 1442H, Rabu – Solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh masjid serta surau di Selangor, ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai hari ini hingga 27 Oktober depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan itu dibuat susulan pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, penangguhan ini akan membabitkan 425 masjid, 278 surau solat Jumaat dan 1,747 surau.

“Tindakan penangguhan ini dibuat selaras dengan penguatkuasaan PKPB di Selangor bagi mengekang penularan kes COVID-19 yang membimbangkan dari terus menular dalam kalangan masyarakat di Selangor.

“Keputusan ini selari dengan hasrat JAIS dalam memastikan pentadbir masjid dan surau di Selangor dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan terhadap anak kariah masing-masing dari menerima sebarang kesan penularan wabak dan penyakit, khususnya wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Shahzihan berkata, pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang penangguhan ini, sebaliknya digantikan dengan solat Zohor di kediaman masing-masing.

Manakala, katanya, solat fardhu berjemaah lima waktu pula hendaklah dilaksanakan dengan had bilangan jemaah tidak melebihi tiga orang sahaja, dan azan tetap perlu dikumandangkan pada setiap waktu.

“Aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh dan kuliah Dhuha serta aktiviti agama yang lain juga hendaklah ditangguhkan buat sementara, berkuat kuasa pada waktu Subuh hari ini,” katanya.

Beliau berkata, sebarang perubahan kepada penangguhan ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Ahli jemaah juga dinasihatkan untuk terus berhati-hati, terus berdisiplin dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan melaksanakan kawalan kendiri dalam kehidupan seharian di lingkungan sektor-sektor yang masih dibuka.

“Semoga langkah-langkah pencegahan, doa dan zikir yang diamalkan akan melindungi Selangor dan negara dari wabak ini dan mengembalikan kita semua kepada suasana kehidupan yang normal dan sejahtera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button