Berita Utama

Ahli politik gelojoh kuasa mesti ‘dibersarakan’

Orang Melayu kena sedar dan fikir mengenai untung rugi bangsa

BANGI, 27 Safar 1442H, Khamis – Kemelut politik yang berlaku hari akan tamat sekiranya pemimpin yang gelojoh kuasa ‘dibersarakan’.

Ketika rakyat berdepan dengan kemunculan gelombang ketiga wabak COVID-19 serta situasi kegawatan ekonomi, situasi politik ini langsung tidak membantu.

Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz berkata, negara memerlukan reformasi politik sebenar, bukan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beragendakan individu dan sia-sia.

“Dalam situasi ini, orang Melayu kena sedar dan berfikir tentang untung rugi bangsa ini.

“Walaupun termaktub dalam Perlembagaan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, ketinggian Islam sebagai agama Persekutuan dan kedaulatan raja-raja, kita tidak boleh membiarkan keadaan politik hari ini diambil kesempatan oleh orang lain yang rakus dan mementingkan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut meminta semua pihak mengambil iktibar pengalaman pahit 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini, dengan memastikan mereka tidak kembali memerintah.

Dr Badrulhisham yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Badh turut mengingatkan kalangan ahli Parlimen Melayu dari UMNO, PAS dan BERSATU supaya tidak melompat dan menyertai PH semata-mata kerana habuan.

Beliau berkata, rakyat akan memerhati dan menghukum mereka – ahli politik – yang menggadaikan kepentingan bangsa dan agama demi tembolok mereka.

“Kita orang Melayu tidak mahu ditipu untuk sekelian kalinya; memberi mandat kepada mereka tetapi mensia-siakan mandat ini dengan menyeleweng kekayaan negara dan menyalahguna kuasa tetapi berpura-pura berjuang atas nama bangsa dan negara.

“… tetapi tidak menguntungkan langsung nasib bangsa dan agama. Justeru, sudah sampai masanya ‘warlord-warlord’ ini diketepikan dan disingkirkan dari tampuk pemerintahan,” katanya.

Bahkan beliau menggesa rakyat terutama sekali orang Melayu bangkit dan tidak memberi peluang langsung kepada mana-mana ahli-ahli politik yang tamak, cauvinis atau yang berpura-pura dari terus berkuasa atau kembali berkuasa.

“Negara tidak perlukan mereka lagi, negara perlukan mereka yang berwibawa, berintegriti dan ikhlas dalam membawa agenda watan ke hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button