Berita Utama

Jangan khianati mandat rakyat demi nafsu peribadi

Negara diancam COVID-19, parti politik perlu fikir soal selamatkan nyawa dan kehidupan rakyat

BANGI, 27 Safar 1442H, Khamis – Kerajaan dipimpin Perikatan Nasional boleh diperkukuhkan sekiranya semua parti politik Melayu, muslim dan pribumi memberikan sokongan serta sanggup mengetepikan kepentingan diri demi agama, bangsa serta tanah air.

Penganalisis Keselamatan, Datuk Dr Ruhanie Ahmad berkata, kerenah untuk menumbangkan PN menerusi omong-omong kosong seperti dakwaan – kononnya sebuah parti tertentu mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah tindakan yang tak perlu dialu-alukan.

“Sebaliknya dalam keadaan negara sedang diancam pancaroba – keadaan yang tidak menentu – COVID-19 ini, seluruh parti politik Malaysia perlu memikirkan soal menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Jika ini boleh dilakukan ia mencerminkan kesanggupan parti politik Malaysia menerima takdir dan prinsip ketuhanan dalam perjalanan politik negara pada ketika kita dicengkam pancaroba,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Ruhanie berkata, penyatuan hati dan jiwa adalah penting untuk menjamin nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia.

Justeru, beliau mengajak umat Islam untuk memulakan langkah perjuangan yang selaras dengan ajaran dan tuntutan Allah.

“Hentikan tindakan ugut mengugut antara sesama kita. Mandat politik daripada rakyat jangan dikhianati semata-mata untuk memenuhi nafsu peribadi kerana ia tidak selari dengan prinsip dan tuntutan Allah SWT,” katanya.

Kemelut politik dilihat tidak berkesudahan apabila UMNO baru-baru ini meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.

Pada masa sama, parti itu juga membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Bahkan, sebelum ini, negara dikejutkan apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sudah memiliki majoriti sokongan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menasihati Presiden PKR itu supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button