Berita UtamaDunia

Kesatuan pekerja Lubnan kecewa, keadaan hidup merosot

Rakyat gesa Kabinet dibentuk, ahli politik bertanggungjawab

BEIRUT, 27 Safar 1442H, Khamis – Rakyat dan kesatuan pekerja Lubnan mengadakan demonstrasi di pelbagai wilayah di negara ini, bagi menentang penghapusan subsidi serta menyuarakan kekecewaan berikutan kemerosotan keadaan ekonomi dan kehidupan.

Tunjuk perasaan itu dilakukan susulan seruan yang dibuat oleh Gabungan Umum Pekerja Lubnan (CGTL) untuk menyatakan bantahan mereka.

Pekerja di Pelabuhan Tripoli dilaporkan, duduk di hadapan ibu pejabat kesatuan itu sebagai bantahan terhadap kemerosotan keadaan ekonomi dan kehidupan melalui penghapusan subsidi bahan asas terutama bahan bakar, ubat-ubatan serta gandum.

Pekerja dan pemandu sektor awam, serta wakil sektor pengangkutan darat dan kesatuan mereka menyekat jalan Tripoli-Beirut dari dua arah. 

Pada pagi Rabu, anggota Kesatuan Pengangkutan Jalan Mount Lebanon bersama pemandu bas menutup jalan antarabangsa di persimpangan bandar Aley, dan memarkir bas di tengah-tengah jalan.

Sejumlah penunjuk perasaan membantah kenaikan subsidi bahan bakar di hadapan Bank of Lebanon dan American University Hospital (AUH) di ibu kota Beirut, sebagai tindak balas kepada seruan CGTL.

Di Sidon dan selatan Lubnan, pemandu kenderaan awam dan bas mini mengadakan demonstrasi di Dataran Nejmeh dan meletakkan papan tanda di kenderaan mereka menuntut pengecualian daripada bayaran mekanik, yang menunjukkan bahawa mereka sedang bergelut kerana keadaan ekonomi yang teruk dan kenaikan harga kereta, alat gantian dan keperluan harian.

Ketua Gabungan Umum Pekerja Lubnan, Bechara Asmar mendesak, pembentukan Kabinet sambil meminta semua ahli politik bertanggungjawab atas penyelewengan mereka sebelum ini.

Asmar juga menyeru semua rakyat Lubnan untuk berdiri bersama konfederasi pekerja Lubnan untuk mendapatkan kembali hak-hak rakyat.

Lubnan sedang mengalami krisis ekonomi dan kewangan terburuk di tengah kekurangan rizab mata wang asing, mendorong bank-bank Lubnan untuk mengenakan kawalan modal tidak rasmi pada pengeluaran pound Lubnan sementara dolar AS tidak lagi tersedia di bank.

Lebih-lebih lagi, penularan COVID-19 memburukkan keadaan, menyebabkan beberapa syarikat keluar daripada perniagaan sambil memberhentikan ribuan pekerja.

Menurut Bank Dunia, kadar kemiskinan di negara ini melebihi 55 peratus, dengan mereka masih bekerja telah kehilangan sekitar 80 peratus dari nilai gaji mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button