Berita Utama

Maaf? Sukar untuk ungkapkan kata-kata itu

'Derita itu hanya saya dan anak-anak tanggung'

JOHOR BAHRU, 27 Safar 1442H, Khamis – Isteri anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) – yang maut dalam kemalangan – sukar untuk memaafkan pemandu wanita yang mengakibatkan kematiannya suaminya.

Sabtu lalu, Laskar Kanan, Mohd Rizal Suberi, 31, maut dalam satu nahas jalan raya yang membabitkan tiga kereta di Jalan Harimau Tarum berhampiran Plaza Pelangi.

Bapa kepada tiga anak itu maut apabila kereta Honda Accordnya dirempuh Perodua Myvi – yang dipandu seorang wanita.

Balu Allahyarham, Nurul Asyiken Amir berkata, beliau dan tiga anaknya masih berada dalam keadaan terkejut dan sedih sehingga memberi kesan emosi mendalam kepada mereka semua.

“Saya tidak dapat berikan jawapan, sama ada kami maafkan pemandu wanita itu kerana sukar mengungkapkan kata-kata itu.

“Anak sulung yang berusia lima tahun sudah menonton video kereta bapanya dirempuh wanita itu dan kemudian bertanya ‘Mama, kenapa perempuan itu langgar papa sampai mati.’ Hati saya hancur. Derita itu hanya saya dan anak-anak yang akan tanggung.

“Bila awak kata wanita itu minta maaf kepada kami, sukar untuk kami terima,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Terdahulu, pemandu Myvi, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, memohon maaf dan ampun kepada keluarga Allahyarham.

Nur Fatin berkata demikian ketika prosiding di Mahkamah Majistret hari ini ketika dihadapkan atas tuduhan memandu kereta di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian Mohd Rizal di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada pukul 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.

Pada masa sama, Nurul Asyiken yang juga guru agama di Bandar Tenggara, Kota Tinggi menafikan beliau tidak menerima suratan takdir, namun katanya, hatinya hancur apabila mengenangkan Allahyarham baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahirna anak sulung mereka.

“Kami sekeluarga baru sahaja berkumpul dan gembira bersama, tiba-tiba jadi macam ini. Hati mana tidak sedih,” katanya.

Beliau turut berharap wanita berkenaan insaf dan menyesali perbuatannya, selain tidak mengulangi semula kesalahan sama pada masa depan.

“Saya harap benda ini dijadikan iktibar kepada orang ramai di luar sana supaya berhati-hati ketika memandu, kerana sebarang kesilapan membuatkan ada keluarga yang hilang insan yang paling mereka sayangi, ” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button