Berita Utama

Solat Jumaat, jemaah boleh di KL, Putrajaya tapi bersyarat

Jumlah jemaah terhad pada keluasan dewan solat dengan penjarakan satu meter

BANGI, 27 Safar 1442H, Khamis – Pelaksanaan solat Jumaat di masjid dan surau – dengan jumlah jemaah tidak melebihi 50 orang – dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jumlah 50 jemaah itu bagaimanapun tertakluk kepada keluasan dewan solat dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

Beliau berkata, jumlah itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melalui titah perkenan selepas keputusan hasil perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dipersembahkan kepada baginda, hari ini.

“Bagi solat fardu pula, jumlah jemaah tidak melebihi 20 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan surau Jumaat masing-masing melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian di bawah kariah masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya mengambil maklum akan luahan umat Islam di Wilayah Persekutuan yang inginkan kebenaran pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu ketika PKPB diteliti semula bagi membolehkan lebih ramai jemaah mengimarahkan masjid dan surau.

“Kerajaan amat prihatin akan usaha pengimarahan rumah ibadat pada masa ini. Saya mengharapkan JAWI dapat memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi sebaiknya oleh jemaah demi kemaslahatan bersama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button