Berita Utama

Suspek Macau Scam lolos, rosak kredibiliti PDRM, SPRM

Kejadian itu disifatkan ISMA sebagai aneh serta memalukan

BANGI, 27 Safar 1442H, Khamis – Kejadian aneh melibatkan suspek utama Macau Scam bergelar Datuk Seri yang melarikan diri daripada ditahan polis, sebaik sahaja dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin lalu perlu dipandang serius dan dikendalikan segera.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin malah menyifatkannya sebagai satu kejadian yang memalukan, apatah lagi terdapat laporan suspek memanjat pagar SPRM untuk meloloskan diri.

Menurut Harian Metro lelaki terbabit memanjat pagar di belakang bangunan SPRM dan melarikan diri ketika anggota polis yang mahu menahannya bersedia di bahagian depan.

Memetik sumber, portal itu melaporkan lelaki berkenaan dikehendaki bagi membantu siasatan mengenai pusat panggilan yang menjalankan kegiatan judi dalam talian.

“Polis yang ketika itu berada di hadapan bangunan SPRM hanya sempat menahan seorang lagi suspek yang juga dalang utama sindiket itu bersama dua anggota polis bagi membantu siasatan kes terbabit,” kata sumber.

Hairan dengan kejadian itu, Prof Zainur Rashid berkata, sekiranya tiada tindakan segera diambil, ia hanya akan mencalarkan kredibiliti pihak berwajib di mata rakyat.

“Seluruh negara tahu mengenai tangkapan penjenayah berprofil tinggi yang disyaki telah menipu ramai rakyat Malaysia yang telah mengalami kerugian yang mencecah ratusan juta ringgit.

“Kes sebegini hanya akan merosakkan lagi kredibiliti terhadap institusi penting negara iaitu SPRM dan PDRM sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebagai rakyat yang prihatin dengan keselamatan dan kesejahteraan negara, beliau ingin mengulangi seruan kepada pimpinan negara agar bertegas dalam hal integriti yang melibatkan pihak berkuasa.

“Segera pulihkan nama baik SPRM, PDRM dan negara tercinta!,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button